Site Map

Saturday, June 9, 2007

seni visual stpm

PENGENALAN SENI VISUAL

A) PENGERTIAN SENI VISUAL
Menurut kamus dewan seni membawa maksud Halus iaitu kecil, elok, tipis dan halus, enak di dengar iaitu mengenai suara, comel bentuk badan manakala .

seni,II: membawa maksud karya termasuklah sajak, lukisan, muzik dan lain lagi yang dicipta dengan bakat atau kecekapan dan hasil daripada sesuatu ciptaan. Visual pula dari segi bahasa bermaksud tampak iaitu yang boleh dilihat melalui deria penglihatan. Terdapat juga istilah seni rupa, seni halus, seni lukis dan seni reka.

Dalam Ensiklopedia Malaysiana (1996 ) ialah satu istilah yang digunakan bagi sesuatu yang indah-indah pada pandangan pacaindera manusia samada melalui penglihatan atau pendengaran.

Menurut buku Fine art in Islamic civilization (1981),pemikir islam iaitu imam Al- Ghazali memperkatakan bahawa seni itu indah melalui pandangan kecantikan dan keindahan.

Oleh itu penjelasan konsep seni visual bolehlah didasarkan kepada beberapa aspek pernyataan diri ( self expression), pengalaman dan sensasi visual dan sentuh samada dalam bentuk 2D dan 3D.

B) PENGKELASAN SENI VISUAL

Seni visual boleh dibahagikan kepada dua jenis penghasilan iaitu pengkaryaan dan perekaan.

I) Pengkaryaan
Ialah penghasilan seni halus dalam bentuk 2D dan 3D. Kebanyakan bahan-bahan yang terhasil menggunakan media dan teknik konvensional iaitu alatan dan media asas dan kurang mengunakan bantuan teknologi. Contoh pengkaryaan ialah Lukisan, catan, seni cetak dan arca.




II) Perekaan
Ialah penghasilan 2D dan 3D yang lebih banyak menggunakan teknik dan media baru berteraskan teknologi. Contoh perekaan ialah grafik dan multimedia ( komunikasi visual), reka bentuk teknologi seperti rekaan industeri ( automobil, logam halus, tekstil dll ) dan reka bentuk persekitaran seperti seni hiasan dalaman & seni lanskap.


C) PERANAN SENI VISUAL

Peranan yang dimainkan oleh seni visual boleh dilihat dari dua aspek yang utama iaitu psikologi dan sosiologi.



I) Peranan psikologi
Peranan psikologi dilihat dari segi perkembangan dan pembentukan diri individu berdasarkan kepada perkembangan sensitiviti, emosi, kreativiti, dan ekspresi yang berlaku dalam diri individu melalui aktiviti seni visual.

Sensitiviti pula merupakan kepekaan dan kebolehan membuat pertimbangan dan persepsi dari segi sosial serta estetik. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat memantapkan kepekaan,sensibility ( kebolehan untuk merasa dan menghayati)

Emosi ialah keupayaan melahirkan idea, rasa hati,membuat pertimbangan dan pernyataan diri. . Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat membangkitkan perasaan dan memantapkan sensibility, mencorak perlakuan perasaan yang semulajadi seperti rasa cinta atau rasa takut.

kreativiti, boleh dilihat dari diri individu yang mempunyai daya kreatif. Individu ini berupaya mengubah dan mentafsir semula sesuatu benda yang ada kepada penghasilan yang lebih menarik.Individu ini sensitif kepada masalah di sekelilingnya, yang kemudiannya bertindak mencari jalan keluar dalam bentuk penghasilan. Penghasilannya yang dilakukannya adalah melalui daya kreatifnya berdasarkan keupayaan dan kehendaknya untuk mengubah sesuatu keadaan supaya lebih sempurna. Individu ini juga berupaya bertindak berdasarkan kebolehannya menyesuaikan sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang lebih baik. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat memantapkan keupayaanmembuat dan merekacipta, menjadikan individu lebih imaginatif dalam pengkaryaan dan perekaan.

Ekspresi ialah tindakbalas emosi hasil daripada interaksi atau komunikasi dengan persekitaran, orang lain,masyarakat, peristiwa dan benda. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat memantapkan pengucapan, curahan idea, gambaran pemikiran dan perasaan, menggambar, memberi makna menerusi perkataan, pergerakan, arahan dan symbol. Selain itu ia dapat memberikan kepada individu berkomunikasi idea, perasaan dan emosi.



II) Peranan sosiologi
Peranan SV dalam membentuk dan mengembang budaya setempat dan sejagat ( seni dan masyarakat ). Antara peranan SV :

Nasionalisme - Falsafah,pemikiran, manifestasi, idea, individu atau kumpulan dalam menyebar dan membangkit nilai, semangat dan perasaan melalui SV. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat membangkitkan semangat kebangsaan dan sayangkan Negara.Contoh hasil karya yang memaparkan unsur nasionalisme ialah Tugu Negara (arca) dan juga potret-potret pemimpin negara.

Persekitaran- Kesedaran nilai persekitaran, unsur keselesaan dan keharmonian dalam SV. Pembelajaran SV, aktiviti dan apreasiasinya dapat mengukuhkan kepekaan dan sesitiviti terhadap kepentingan sekeliling yang memberi kesan kepada kehidupan. Antara contohnya Rumah rakit – Kuala Lipis karya Peter Harris dan Waktu Pagi Di Kampung, karya Lai Foog Mooi, reka bentuk lanskap dan hiasan dalaman.
Rumah rakit- Kuala Lipis

Propaganda- SV sebagai saluran untuk menyampaikan dan menyebar idea, hasrat atau kepercayaan, pengaruh dan kuasa. Contohnya Poskad kepada Dunia, karya Awang Damit Ahmad.
Poskad kepada dunia (1990)

Ritual / upacara- SV dalam melaksanakan ritual/upacara sesuatu budaya dan adat resam
dalam aktiviti kehidupan masyarakat. Kebanyakan hasil karya adalah berbentuk 3D atau arca. Contohnya Patung Jah Hut dan Mah Meri, yang menjadi patung penyembahan orang-orang asli di Pahang dan Selangor.

Spiritual – SV untuk ketenangan, kepuasan dan keselesaan. Hasil karya yang dihasilkan adalah untuk kepuasan pelukis dari cetusan dalaman diri pelukis itu sendiri. Contohnya, Semangat Bumi, Air, dan Udara, karya Patrick Ng Kah Onn.

Pengeluaran- Hasil seni SV berasaskan kepada faktor cita rasa, gaya, fungsi dan kegunaan. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat menghasilkan mutu pengkaryaan dan perekaan yang berkualiti dengan nilai keindahan yang tinggi. Kebanyakan hasil karya berunsur pengeluaran adalah bertujuan dikomersialkan. Contohnya penghasilan batik dan songket.

Pemujukan- Hasil SV berkeupayaan membentuk empati dan tarikan. Contoh-contohnya yang jelas ialah papan billboard dan poster.

Perniagaan dan perdagangan- Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat menghasilkan barangan yang sangat berpotensi untuk perniagaan dan perdagangan. Antara contoh yang jelas ialah bidang pembungkusan.

D) PENGALAMAN ESTETIK

Dapat membina kepekaan dan pertimbangan dalam diri individu, masyarakat dan persekitaran.Terbahagi kepada

Pengalaman langsung- Melalui proses membuat atau proses penghasilan produk seni. Melalui penglibatan deria. Antara yang terlibat ialah pelukis, pengarca, pandai tukang dan sebagainya.

Pengalaman intelektual- Melalui kajian, penerokaan, eksperimen dan dapatan dari pelbagai sumber dan maklumat dalam proses penghasilan produk seni.
Melalui penguasaan maklumat daripada pelbagai sumber yang mendalami tentang konsep, falsafah dan nilai. Kebanyakan yang terlibat ialah para pengkritik, penggiat seni pengkaji dan individu yang sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan bidang yang berkaitan dengan seni.










PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL

Pendahuluan

Seni

Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah. Seni memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu. Hal ini telah melahirkan kepelbagaian pengertian seni seperti tradisi, moden dan pascamoden, mengikut zaman dan masyarakat yang tertentu. Penghayatan dan penghargaan terhadap seni lazimnya mengambil kira aspek-aspek formal, makna dan konteks penghasilan sesuatu karya. Seni juga mempunyai pelbagai peranan yang bersifat psikologi dan sosiologi.


Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser berpendapat, seni adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959: 16).


Seni Visual

Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan reka bentuk persekitaran. Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Karya seni visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin disampaikannya. Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka.


Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).

Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.



Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.

Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan, dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan persekitaran, serta penghayatan khalayak terhadapnya menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni Visual. Justeru itu, Sejarah Seni Visual adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian terhadap kerja-kerja seni.

a) Konsep dan Kaedah Sejarah Seni Visual

(i) Maksud Sejarah Seni Visual


Keluasan pengertian dan skop seni visual memungkinkan bidang Sejarah Seni Visual juga muncul sebagai suatu disiplin ilmu mempunyai skop, peranan, dan cabang-cabang yang luas. Sejarah Seni Visual tidak hanya terbatas kepada persoalan atau pengkajian tentang bentuk-bentuk seni, sebenarnya sejarah seni melibatkan apa-apa jua yang berkaitan dengan kerja seni itu sendiri, termasuklah tentang pengkarya: pelukis dan pereka, bentuk, stail atau gaya, proses, teknik, bahan, makna, pemilik, penaung, persepsi, tanggapan, peranan, dan kemungkinan-kemungkinan yang terhasil akibat daripada kewujudan karya seni itu.

Budaya visual yang pelbagai bentuk dan rupa terhasil berlandaskan pelbagai pengalaman yang merentasi ruang dan jarak waktu yang tertentu. Dalam konteks ini, Sejarah Seni Visual pada dasarnya menerokai akan apakah faktor-faktor pencetus terhasilnya karya, akibat atau kesan, peranan, fungsi, nilai, makna, serta persepsi masyarakat terhadap sesuatu karya. Oleh kerana penghasilan karya seni itu turut berhubung dengan bidang-bidang ilmu dan kebudayaan yang luas, justeru itu bidang Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu bidang kajian yang berkait dengan bidang-bidang ilmu dan profesion lain. Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu disiplin kemanusiaan yang menerangkan peranan seni dalam kehidupan manusia (Zakaria Ali, 1989; Muliyadi Mahamood, 1993; Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).

Tujuan Sejarah Seni Visual

Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa masa lalu sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan memahami masa lalu dengan mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni visual pula berusaha untuk memahami masa lalu menerusi karya-karya seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-dokumen sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya, sementara apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang Sejarah Seni Visual bertindak sebagai asas untuk memahaminya. Selain daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan fungsi sesuatu karya, Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi, fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya dengan mengkaji faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan (Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).

(ii) Kaedah Sejarah Seni Visual

Dalam bidang Sejarah Seni Visual, karya seni merupakan dokumen sejarah atau sumber primer yang penting, sementara apresiasi atau penghayatan seni menjadi asasnya. Kaedah mendekati atau menganalisis karya seni boleh dilakukan dengan mengajukan beberapa soalan asas tentang karya yang sedang dikaji ataupun dihayati.

Misalnya, ia boleh dimulai dengan bertanya apakah objek itu?; untuk siapa ia dibuat?; ia dibuat daripada apa?; bagaimana keadaannya sekarang?; adakah ia satu-satunya objek sedemikian?; apakah maksudnya?; apakah yang cuba disampaikan?; bagaimanakah ia dipersembahkan?; dan siapakah yang menghayatinya?. Atau, ia boleh dimulakan dengan soalan siapakah pembuatnya?; di mana ia sekarang?; bagaimana ia berada di tempatnya kini?; bila ia sampai di tempatnya kini?; siapa yang mendapatkannya?; mengapa?; berapakah harganya?; siapa pemilik asalnya?; siapa yang menghayatinya? (Pointon, 1994: 61). Persoalan-persoalan asas ini menjadi dasar dalam mengenali serta memahami sesebuah karya seni itu dengan lebih dekat dan bermakna. Ini yang ditegaskan oleh Hauser dalam tulisannya, bahawa dalam usaha memahami karya seni, kita tidak terus menerangkannya, tetapi cuba menyesuaikan diri kita dengannya.

Berbicara tentang karya seni, Hauser menulis:

”We do not go straight towards them, but circle around them. Each generation sees them from a different point of view and with a fresh eye; nor is it to be assumed that a later point of view is more apt than an earlier one. Each aspect comes into sight in its own time, which cannot be anticipated or prolonged; and yet its significance is not lost, for the meaning that a work assumes for a later generation is the result of the whole range of previous interpretations.” (Hauser, 1959 in Fernie, 2001: 205).

Secara umumnya, pengkajian terhadap karya seni perlu mengambilkira aspek-aspek bentuk (aspek-aspek formal, termasuklah pengolahan karya dan gaya penampilan) dan makna (ikonografi: tersurat dan tersirat). Penelitian terhadap bentuk dan makna ini pula dihubungkan dengan konteks penghasilan sesuatu karya, misalnya aspek-aspek period atau masa: sejarah dan kebudayaan.
Dalam mengkaji bidang sejarah seni umumnya perlu mengetahui tentang bagaimana sesebuah karya itu diolah dan dihasilkan. Dalam proses pengolahan inilah 3 kaedah yang digunakan iaitu:
Idealisasi – merujuk kepada unsur kepercayaan / keagamaan. terdapat banyak pada imej-imej keugamaan. Pengolahan dibuat menggunakan perkiraan dan formula) untuk maksud menyampaikan rasa keunggulan, penataan secara hieratik, melibatkan exaggeration sama ada dari aspek idea mahu pun form
Representasi-merujuk kepada perlambangan. menyatakan tentang keperihalan sifat dan ciri sesuatu kualiti hal yang mujarad seperti berat atau isipadu sesuatu objek tanpa sebenarkan menekankan sifat luaran.Oleh itu ia melibatkan satu perlambangan aspek mujarad bagi maksud menginterpretasi tentang perkara yang bukan objek. Dalam banyak keadaan, sasaran pengambarannya lebih mengutamakan aspek yang elemental dan primeval

Stailisasi - merujuk kepada bahan dan teknik yang digunakan dalam sesuatu karya atau perekaan. pertimbangan imej dibuat dengan mengambil kira aspek ciri bahan yang digunakan dan rupa yang akan diserasikan dengan keseluruhan reka bentuk. Pendekatannya lebih berkait dengan masalah rekaan (design issues). Contohnya ialah, gambar dalam motif.



a. Gaya penampilan
Teknik penggambaran menyentuh soal gaya dan bagaimana imej dipersembahkan kepada umum. Pada amnya, terdapat tiga kaedah utama yang boleh mengarah kepada penekanan gaya penampilan iaitu:
· Realistik-karya yang menggambarkan sepertimana objek/situasi asal melibatkan imitasi, peniruan daripada bentuk asal.Contoh Gadis Melayu, Potret Diri (Mohd.Hoessien Enas),



· Separa abstrak-Mengubah bentuk asal kepada unsur yang sukar difahami tetapi masih boleh dikenali unsur-unsur asal.Contoh Girl Before a miror (Pablo picasso), Hang Tuah Hang Jebat (Ismail Mustam)


· Abstrak- karya yang melambangkan keseluruhan imej yang sukar difahami , dikenali sebagai mujarad,niskala,kabur, tetapi pengkarya lebih mementingkan simbol,bentuk dan warna,Contoh Pago-pago (A.Latiff Mohidin), Gunung Ledang (Syed Ahmad Jamal)

1 comment:

Nik Yunx said...

macam mana senang nak faham dan jawab soalan seni..??plez help me..sy exam sem1 bln 11 nie